Ahad, 15 Oktober 2017

KOLAM AIR PANAS ULU LEGONG



Baling adalah sebuah daerah yang terletak dalam negeri Kedah. Ia bersempadan dengan daerah Kulim di sebelah selatan, daerah Kuala Muda di sebelah barat, daerah Sik di utara, Negeri Perak di sebelah tenggara dan Negara Thailand di sebelah timur laut.
Ia mempunyai keluasan sebanyak 1,530 kilometer persegi atau 590.32 batu persegi. Dengan keluasan tersebut, Baling merupakan daerah yang kedua terbesar di negeri Kedah selepas daerah Sik. Setakat Februari 2011, jumlah penduduk daerah Baling ialah 159,487 orang.

Baling walaupun  hanya sebuah pekan  kecil tetapi merupakan daerah yang kedua terbesar  di Kedah telah mencatit beberapa sejarah besar negara. Pada tahun 1955 Tunku Abdul Rahman Putra telah mengadakan rundingan dengan pemimpin Parti Komunis Malaya Chin Peng.

Pada bulan November 1974 pula terdapat dua tunjuk perasaan besar di daerah itu berikutan harga getah jatuh. Manakala 19 November 1985 pula  berlaku Peristiwa Mamali yang telah mengorbankan 18 orang termasuklah empat anggota polis semasa pertempuran antara orang kampung dengan polis berpuluh yang lain cedera dan ratusan orang khususnya penduduk kampung ditahan.

Terbaharu Pada September 2014, Baling mencatitkan lagi satu sejarah apabila Pengarah Filem tersohor Yasin Salleh telah menganjurkan Ziarah Karyawan di Kampung Lestari Ulu Legong. Ziarah Karyawan Utara ini telah menghimpunkan seluruh gerne karyawan di negara ini  termasuk Singapura.  Kini Ziarah Karyawan terus bergerak menjejaki serata tempat di negara ini dan daerah Baling yang mencetuskan gagasan ini. 

Menurut cerita sejarah awal kewujudan kolam air panas ini apabila Sultan Kedah (Sultan Abdul Hamid, Nenda kepada Sultan Abdul Halim) telah berkenan berkunjung dan bersiram di Kolam Air Panas Kampung Ulu Legong. Penduduk kampung telah bergotong royong membina kolam simen empat segi berukuran lebih kurang 100 kp yang mana bahan-bahan binaan ini telah diangkut masuk menggunakan gajah.

Namun  kawasan Ulu Legong pernah menjadi kawasan hitam. Sekitar tahun 1940an tentera Jepun  telah menjadikan persekitaran Kampung Ulu Legong sebagai salah satu kawasan operasi tentera yang merupakan laluan masuk dari Thailand. Manakala sekitar tahun 1970an pula ATM turut menggunakan kawasan sekitar kolam air panas ini sebagai markas operasi tentera untuk memburu anggota Komunis.

Pada tahun 1980 berlaku tragedi serangan komunis terhadap penduduk Kampung 15, Kampung Ulu Legong dan kemudiannya berlaku satu lagi serang hendap komunis ke atas Konvoi Tentera di akhir tahun 1981

Namun hari ini segala-galanya berubah  Ulu Legong  mempunyai Pusat Rekreasi Air Panas   salah satu tarikan pelancongan yang terkenal di daerah Baling malah seluruh negeri Kedah. Pusat ini mula beroperasi sejak Tahun 1998, lokasinya di Mukim Siong kira-kira 22km dari Pekan Baling.

Taman Rekreasi ini  beroperasi 24 jam sehari. Jadi, anda boleh datang pada bila-bila masa sahaja. Terdapat banyak kolam dengan kedalaman dan keluasan yang berbeza serta kadar kesuaman air yang turut berbeza.


Pelbagai kemudahan yang disediakan,  antaranya  dewan seminar, taman permainan kanak-kanak, kolam air panas, tempat letak kenderaan, surau, outdoor gym, tandas awam, bilik persalinan, tapak BBQ, medan selera dan banyak lagi.

Jika anda berhajat berkunjung ke sini , waktu yang paling sesuai untuk mandi ialah pada waktu menjelang lewat tengah malam sehingga waktu Subuh. Suhu sejuk pada waktu-waktu  ini boleh mengurangkan suhu panas air kolam. Pengunjung juga disarankan supaya memastikan dahulu tahap kesihatan diri sesuai dengan tahap kepanasan setiap kolam yang berbeza. Sebuah laluan batu urut refleksologi juga ada disediakan kepada pengunjung oleh  Pihak Pusat Rekreasi Air Panas

Di sini juga terdapat tempat penginapan seperti chalet dan juga tapak untuk berkhemah. Penginapan jenis VIP, standard dan dormitori  disediakan untuk pengunjung .Taman Rekreasi ini sangat selesa dan sesuai datang bersama keluarga.

 Taman Rekreasi ini sentiasa menjadi tumpuan orang ramai kerana kolam air panas ini di katakan dapat mengubati pelbagai jenis penyakit. Pusat Rekreasi Air Panas ini diuruskan sepenuhnya oleh Jabatan Pelancongan dan Rekreasi Majlis Daerah Baling. Tiket untuk masuk ke Taman ini ialah RM3 untuk kanak-kanak dan RM6 untuk orang dewasa.

Jika anda ini berkunjung ke sini dan ingin dan membuat tempahan di Chalet yang di sediakan boleh menghubungi  pihak pengurusan pusat rekresi ini seperti di bawah :

Pusat Rekerasi Air Panas Ulu Legong
09100 Baling Kedah      
Tel : 04-4721548, 04-4731024, 04-4731025
Faks : 04-4731026

Tiada ulasan:

Catat Ulasan